Wawancara Jejak Anak Kampung Menjadi Warga Global - Siri Ke 22
Soalan
Soalan saya ringkas buat Datuk; apakah faktor yang membuatkan Datuk hebat seperti hari ini?
(Soalan ini disumbangkan oleh Abdul Wafi Che Ahmad sebagai salah seorang 10 pemenang sesi wawancara Jejak Anak Kampung)
Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB)
Saya yakin saya belum lagi hebat seperti apa yang disifatkan oleh saudara Abdul Wafi. Dalam perjalanan dan travelog saya yang aktif di seluruh pelusuk dunia, saya telah bertemu dan melihat lebih ramai lagi insan yang lebih hebat. Malah, mereka menjadi 'role model' saya secara senyap. Walaupun mereka tidak hebat dalam semua perkara, mereka adalah hebat dalam sesuatu bidang dan skil tertentu. Mungkin suatu hari nanti saya akan membuat pengkisahan tentang setiap orang dari mereka ini. Sebahagian dari mereka dikenali ramai dan sebahagian lagi berada di bawah radar; tidak ramai yang mengetahui kualiti diri mereka tapi mereka adalah "orang yang hadirnya tidak dikenali dan tiadanya tidak dirasai tapi mereka adalah penyumbang utama" sepertimana maksud sebuah hadith Rasulullah SAW. Inilah kehidupan kita sebenarnya. Bukan semua berlian yang berkilauan tetapi ia tetap berlian.
Saya bersungguh-sungguh untuk menjadi penyumbang kepada agama dan masyarakat. Semangat saya bukan kepalang. Saya boleh berterusan bekerja dan mengambil cabaran untuk hanya menjayakan sesuatu yang perlu dilakukan. Mungkin di sini Saudara Abdul Wafi nampak saya hebat. Saya masih berusaha untuk menjadi 'hebat' setanding dengan ramai lagi kenalan saya yang amat cukup hebat. Apakah faktor terpenting untuk menjadi seorang yang 'hebat'?
Bagi saya, anda perlu berfikiran untuk menjadi hebat bukan untuk diri anda sendiri. Anda perlu hebat kerana untuk orang lain di sekeliling anda ; masyarakat dan umat. Mungkin lebih mudah menjadi hebat hanya sekadar untuk diri sendiri dari segi kekayaan, publisiti, keilmuan, kedudukan dan sebagainya. Tapi menjadi seorang yang hebat untuk berkhidmat dan berbakti kepada orang lain adalah sesuatu yang payah dan sukar. Apa sebab ye? Selalunya orang yang sudah hebat tidak lagi peduli dan perihatin dengan orang di sekelilingnya. Kalau dia sudah berjaya dalam bidang keusahawanan atau korporat, dia sudah tidak dapat dan mahu melihat potensi usahawan yang baru dan sedang menapak. Sebaliknya, dia akan melihat usahawan muda ini sebagai seorang yang berisiko tinggi. Dia juga akan menjauhkan diri dari orang yang berisiko tinggi ini tanpa dia menyedari bahawa beliau pun satu masa dahulu adalah dianggap berisiko tinggi sewaktu memulakan perniagaannya. Bagaimana masyarakat akan lebih berjaya kalau anda bersikap bagini?
Bagitulah juga dengan seorang ahli akademik, ulamak dan pemimpin masyarakat. Masing-masing lebih selesa menjaga kehebatan diri masing-masing dari menjana kehebatan dalam diri orang lain. Bagi saya, saya ingin menjana sikap kehebatan dalam diri seramai mungkin insan yang ingin dan boleh mengambil cabaran untuk hidup dan berbakti untuk orang lain.
Dalam membina kehebatan masyarakat, jangan kita runtuhkan nilai yang baik yang sedia ada walaupun mungkin ada ikhtilaf ulamak dalam beberapa aspek. Ikhtikaf ulamak adalah satu perkara yang biasa. Betul kata hikmah ulamak iaitu kita tidak boleh satukan umat di atas perkara cabang. Ini tidak mungkin berlaku. Saya bersemangat untuk memenuhi ruang kosong yang ada dalam masyarakat. Nabi SAW pun diutuskan untuk menyempurnakan ketinggian akhlak dan bukan untuk membina satu sistem nilai yang baru. Ada unsur-unsur yang baik dalam masyarakat yang tidak perlu dikecam dan diserang hanya kerana perbezaan perspektif.
Dalam konteks ini, saya bersemangat untuk membawa dua atau tiga perkara yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat Islam dalam semua peringkat. Yang pertamanya, saya telah buat satu gagasan bahawa Syariah adalah kehidupan. Gagasan ini asalnya dicetuskan oleh buku sulung saya iaitu "Minda Syariah Dalam Kewangan Islam". Minda Syariah yang mempunyai paksi dan 'barring' yang tepat akan sentiasa menjadikan Syariah ini hidup dan dinamik dalam setiap langkah dan petak kehidupan. Saya bagitu bersemangat untuk menyiapkan pula satu buku khusus untuk "Syariah Adalah Kehidupan" supaya semua lapisan masyarakat ; Islam atau bukan Islam, domestik atau antarabangsa, dapat melihat dan merasai betapa Syariah adalah prinsip-prinsip yang ada wajah (iaitu identiti) dan suara. Syariah bukanlah tidak berwajah (faceless) dan bukanlah tidak bersuara (voiceless).
Saya akan terus menulis dan membuat artikulasi dalam tema ini dalam pelbagai bentuk dan penulisan. Ianya akan diselitkan dalam tema maqasid, data raya (big data) dan juga sebuah buku fiction atau fantasi. Saya yakin bahawa wajah dan suara Syariah yang sebenar sudah tenggelam. Saya amat bersemangat untuk memutihkan kembali wajah Syariah melalui engagement yang bermetodologi.
Saya juga yakin dan percaya bahawa Syariah memerlukan kepada manifestasi sebenar dalam kehidupan. Ia perlukan kepada institusi dan juga tawaran produk dan perkhidmatan. Tidak cukup dengan artikulasi, Syariah perlukan penjelmaan yang dapat dilihat dan dirasai. Kalau kita ingin Syariah hebat di mata manusia, Syariah kenalah hebat dahulu di mata kita. Kalau kita mahu masyarakat Muslim di Malaysia ada timbangan dan pemberat (dan bukan kosong dan berbuih), perlu ada kekuatan personaliti dan ekonomi pada kebanyakkan anggota masyarakatnya. Kita perlu melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang berjaya dan mereka yang boleh mengapungkan syarikat mereka di bursa tempatan dan antarangsa. Kekuatan ekeonomi di zaman sekarang bukan lagi bergantung kepada sumber asli negara tetapi melalui penjanaa harta intelek. Betapa susahnya nak melihat jenama Malaysia dalam pelbagai barang dan perkhidmatan. Hampir kosong. Bukahkah Syariah selalu menggesa kita untuk befikir dan berinovasi? Syariah juga kena hidup dalam kehidupan sosial. Zakat dan waqaf bukan sekadar bahan ceramah yang berapi-api tapi impaknya sejuk dan beku.
Yang ketiga ialah saya ingin hebat dalam bidang keantarabangsaan. Keantarabangsaan adalah tiang seri Islam. Nabi SAW sifatkan perasaan perkauman yang sempit adalah seperti nanah. Darah dan nafas keantarabangsaan kita amat sejuk. Kita menjadi aktif dan panas sikit apabila ada tragedi dan musibah. Agenda ini datang dan pergi sebab ia belum lagi benar-benar meresap dalam personaliti kita. Apabila kita sentiasa merasakan bangsa kita lebih hebat dari bangsa lain dalam segala aspek dan bangsa lain tidak ada langsung kehebatannya, kita ada bau jahiliyyah.
Keantarabangsaan dalam minda saya ialah keantarabangsaan ummah dan manusia sejagat. Setiap kelompok manusia atas planet ini perlukan masing-masing untuk hidup secara sejahteta. Idea dan falsafah barat yang dicetuskan oleh Sigmon Freud dan sekolah pemikiran Frued ialah manusia itu secara biologi dan fitrah adalah bersifat agresif sesama sendiri sejak kanak-kanak lagi. Sebab itu hubungan sesama manusia mestilah diasaskan kepada polisi mempertahankan atau pentingkan diri sendiri dan kalau perlu, menyerang orang lain. Pemikiran ini telah meresap dalam pemikiran barat. Adakah itu satu gagasan yang benar tentang manusia? Beria baik ialah terdapat aliran dan sekolah baru di barat iaitu "Empathy" yang menolak doktrin Frued. Manusia akan lebih bahagia kalau dapat hidup secata empathy. Di mana Syariah dalam hal ini?
Inilah perkara-perkara atau tema-tema yang saya ingin menjadi seorang yang hebat. Jadilah seorang yang hebat untuk menjadikan orang lain bahagia, sejahtera dan juga hebat. Perjalanan kita masih panjang. Jangan melihat berapa banyak langkah yang telah anda berjalan tetapi berapa banyak langkah yang belum anda lalui. Di situlah terletaknya kehebatan anda.
* Baru sahaja sampai di KLIA dari Manila. Alhamdulillah semuanya selamat dan sejahtera.
Search
anggota bursa 在 Apresiasi kepada 17 Anggota Bursa yang telah ... - YouTube 的推薦與評價
... <看更多>